Perjuangan d’ Ersante – Bab 11

Aku: ‘Kita akan menyamar sebagai pelanggan dan siasat hasil design pesaing-pesaing kita.’

Pagi berikutnya, aku bersama dengan June berpakat untuk mengetahui tentang hasil rekaan bakal pemohon selain kami. Aku memilih 3 pesaing yang di jangka bakal mendapat tempat dalam permohonan mendapatkan projek tersebut. Kami sebelum ni semasa dalam garaj semalam, sudah berbincang tentang pesaing yang kemungkinan besar akan lulus dalam temuduga permohonan yang bakal di adakan itu. Dan itulah, 3 pemohon yang kami listkan tersebut, di jangka memberi saingan hebat dalam mendapatkan kontrak.
June tak banyak cakap sebaliknya hanya bersetuju aje dengan idea yang aku usulkan. Dan dah sememangnya menjadi salah satu minat mendalam June, iaitu mengenakan pakaian yang anggun-anggun dan cantik-cantik sambil bersiar-siar di sekitaran bandaraya……bersama-sama dengan orang sehensem aku…(heh..heh..heh.) dimana peluang sebegini tidak haruslah dipersia-siakan begitu saja.

Eh, nampak cantik betullah dia hari ni. Sesungguhnya dia ni memang betul-betul termasuk dalam golongan orang yang ‘mendengar kata’. Tu yang buat aku sayang tu…
June: ‘You jangan ArdMad….Ingat yang kita ada ‘misi’ hari ni?’
Kata-kata tu terpaksa di lafazkan oleh June setelah menyedari kereta aku yang dari tadi tak bergerak-gerak untuk cergas memulakan tugas sebaliknya tangan dan renungan aku secara perlahan-lahan terfokus terus ke arah June aje memanjang… Sudah tentulah diwajah sedang tersengih baik walaupun niat yang kalau berjaya di realisasikan, kemungkinan tak berapa baik….
June: ‘Destinasi pertama kita, siasat Hiasan Dalaman Jaedyian Vandessey yang terletak di Perniagaan Mall. I dah lama tertarik dengan struktur hiasan kedai dia yang dia buat dekat Mall tu. I ‘budget’ Vandessey adalah salah satu Pereka Hiasan profesional. Walaupun I sebenarnya kurang tahu tentang perkembangan projek hiasan dia tapi I dengar khabar dia boleh dikatakan hebat jugalah…Jadi, mari kita ke sana untuk mendapat maklumat dengan lebih lanjut.’
Baiklah Tuan Pemaisuri. Tuan Pemaisuri dah lupa asal cadangan ni pada awalnya datang daripada aku ye tak?

Setelah pemanduan yang memakan masa lebih kurang setengah jam, kami tiba Perniagaan Mall yang indah itu. Aku mengambil satu sudut di sebuah taman berhampiran untuk meletakkan kereta.
Aku: ‘June, you kena berlagak seolah-olah you dengan I ni memang real punya pasangan yang berminat dalam hiasan dalaman bagi rumah baru kita. Kita kena banyakkan perbualan yang boleh mengakibatkan diaorang pamerkan hasil terbaik koleksi diaorang. Kita lagak dengan gaya yang betul-betul ‘standard’ punya, ok?’
June: ‘Gementar jugak rasanya ni ye ArdMad? Rasa macam bersalah pulak.’
Aku: ‘Alah..you bertenang, rileks, steady, semuanya akan berjalan lancar. Apa-apa yang boleh menyebabkan rasa tak konfiden, tengok aje muka I. Kita akan sentiasa back-up (lindungi) antara satu sama lain. Bersedia?’
June menarik nafas panjang seketika dan mengangguk. Maka melangkahlah kami ke Hiasan Dalam Jaedyian Vandessey.




Apasal la pembantu kedai ni semuanya lawa-lawa? Bergaya dan penuh dengan keseriusan di wajah menggambarkan betapa tekunnya masing-masing dalam urusan kerja. Keseriusan wajah diaorang membuatkan diaroang nampak seksi…tu yang buat aku lemah nih. Adoihhh…

Pengurus: ‘Kami ada berbagai-bagai hiasan yang kami percaya mampu untuk menarik minat puan menempahnya. Lihatlah kepada semua katalog dan sample yang kami sediakan. Terletak pada puan untuk mengambil masa menilai mana satukah yang benar-benar puan inginkan untuk menghiasi rumah baru puan nanti.’

June sedang duduk di meja pengurus kedai ni (lelaki yang seakan-akan perempuan, tetapi mempunyai perwatakan yang serius dan tenang) untuk ‘membincangkan’ tentang hiasan yang di sediakan. Aku? Aku pula sedang berlegar-legar dalam kedai yang luas ni memerhatikan contoh-contoh rumah kecil yang di pamerkan sebagai salah satu advantage (kelebihan) dalam urusan pameran hiasan diaorang…walaupun sebenarnya mata dan bibir aku tersenyum kepada seorang daripada beberapa pekerja wanita yang sedang bertugas di sini…

June: ‘Saya rasa, saya suka juga pada yang ini. Apa pendapat you ArdMad?’
‘Serangan’ pertama daripada June tu adalah bertujuan untuk menarik aku duduk bersama dengannya di meja pengurus.
Aku: ‘Hai, sapa nama?’
Aku tersenyum memulakan perbualan dengan nada begitu perlahan apabila salah seorang daripada pekerja wanita yang diperhatikan tadi menghampiri posisi aku.
Pekerja: ‘Soalan itu perlu ke untuk urusan encik pada hari ini?’
Aku: ‘Perlu. Awak tengok ni haa…Di sini, hiasannya di beri label: ‘Hiasan D-16, menggambarkan hiasan menggabungkan unsur-unsur aluminium dan marmar yang di seragamkan warna dan kesesuaiannya. Yang ni pula….’
Aku merujuk ke satu lagi sample hiasan yang tersedia…
Aku: ‘Hiasan D-33, yang merujuk kepada hiasan berlandaskan tropikana semulajadi….’
Aku: ‘Kesemua label tu adalah untuk kemudahan para pelanggan mengingati setiap struktur hiasan yang di pamerkan tanpa perlu menjelaskan dengan terperinci butiran satu-persatu apabila berurusan kelak.’
Pekerja wanita tu tersenyum memberi perhatian tentang penerangan aku…
Aku: ‘Dan awak, ikhlas saya katakan menggambarkan seorang wanita yang cantik, menarik untuk di kenali oleh banyak lelaki, sudah pasti tidak terkecuali dari mempunyai label, sebagaimana hiasan-hiasan lain…’
Aku terdiam sebentar dan…
Aku: ‘Kalau tidak, tentu setiap pelanggan terpaksa menghuraikan segala sesuatu milik awak dengan begitu terperinci sekali, setiap kali ingin mencari awak. Dan, pasti awak akan rasa kurang selesa andaikata milik awak tu, selalu di ‘terperincikan sebegitu rupa, betul tak? ‘
Dia senyum sambil ketawa sedikit. Aku juga turut tersenyum mesra membincangkan tentang ‘hiasan-hiasan’ yang terdapat di sini.

June: ‘Walaupun saya suka hiasan ni, tapi kemungkinan ‘dia’ (merujuk kepada aku, dengan jari telunjuk) ada beberapa komen yang ingin di kemukakan….ye kan ArdMad?!’
Suara June mula dah agak ‘keras’ nih! Ye lah!
Aku: ‘I rasa, warna dia kurang stabillah. I perlukan yang lebih stabil dan tenang. Yang ni, nak kata garang sangat tu, tak jugak. Entahlah…Ada yang lain tak?’
Bergegas aku mengambil tempat di sebelah kerusi June sedang berurusan.
Pengurus: ‘Kalau begitu, tentu encik berdua ingin melihat kepada di antara koleksi terbaik yang pernah kami hasilkan?’
Aku dan June mengangguk, menandakan setuju ajelah memandangkan tujuan utama adalah untuk perkara tersebut.
Pengurus: ‘Ikut saya.’

Pengurus tersebut bangun dan membawa kami ke sebuah bilik di bahagian belakang. Keadaan dalam bilik ni agak malap dengan ubahsuaian lampu yang memberi pancaran yang agak sedikit. Sebaik saja kami berada dalam bilik tersebut, lampu di terangkan dan wow! Sungguh indah hiasan dalam bilik ni yang mempamerkan pelbagai-bagai jenis gambar, artifak (patung seni), dan langsir-langsir tebal berwarna metalik yang di gantung di segenap penjuru. Ia membuatkan pancaran lampu bersinar apabila mengenainya.
Pengurus: ‘Oh, saya kenalkan diri saya. Saya ialah Jaedyian, pemilik kedai ini.’
Aku: ‘Apa kena dengan Vandessey tu? Siapa dia?’
Jaedyian: ‘Itu nama latar belakang keluarga kami. Kami ada Rod Vandessey, Reisna Vandessey, Rudy Vandessey dan seterusnya.’
Aku hanya mengangguk perlahan sambil masih memerhatikan keadaan sekeliling di dalam bilik ini.
Jaedyian: ‘Untuk tidak membuang masa, saya ingin tunjukkan koleksi-koleksi yang saya fikir encik berdua akan menyukainya.’
Jaedyian menekan suatu butang yang terdapat di dinding dan secara perlahan-lahan terturunnya beberapa keping papan yang seakan-akan di tampal di sekitar dinding bilik ini. Setelah selesai papan-papan tersebut turun, terlihatlah koleksi di antara yang terbaik yang pernah di hasilkan.
Jaedyian: ‘Melihatkan sikap encik berdua sebentar tadi, seakan-akan tidak berminat dengan hiasan yang saya pamerkan di bahagian depan. Jarang sekali pelanggan masih kurang berminat dengan hasil hiasan yang di pamerkan di bahagian depan kedai ni, melainkan para-pelanggan yang betul-betul kelihatan agak profesional, seperti encik berdua ini.’
Itu suatu pujian ikhlas atau usaha seterusnya dalam menarik minat pembeli untuk beli jugak?
Jaedyian: ‘Rasa senanglah untuk melihat dan meneliti mana-mana hiasan yang encik berdua inginkan.’
Jaedyian kemudian melangkah ke sebuah meja yang terdapat di sebuah sudut dan mula membuka beberapa dokumen, membiarkan kami meneliti hiasan yang di pamerkan.

June: ‘Eeeyee….dahsyat jugak hiasan dia ni ArdMad.’ bisik June perlahan kepada aku.
Aku terpaksa akui, Jedyian memang mempunyai beberapa koleksi yang memukau mata. Mungkin sebagai seorang Pereka Hiasan Dalaman yang berjaya, ini semua tidak mustahil. Aku terpaksa akur bahawa setelah melihat koleksi hiasan ini, aku menjadi sedikit kerisauan. Sedikit kehilangan konfiden untuk meneruskan usaha bersaing menolong June untuk mendapatkan kontrak.
June: ‘ArdMad…macam mana?’ bisik June perlahan lagi.
Kalau nak di bandingkan dengan June, aku rasa pengalaman dalam kreativiti dalam menghasilkan hiasan, lebih lagi kepada Jaedyian. Masa melangkah masuk dalam kedai ni tadi lagi aku dah tahu yang Jaedyian ni profesional…..tapi aku tak jangka yang dia ni memang betul-betul real punya establish Businessman (Peniaga yang telah sangat maju ke hadapan!).

Ceh!..Dia jahat! Dia sengaja membiarkan kami terumbang-ambing dalam koleksi hiasan dia. Dia sengaja nak pukau fikiran aku supaya di akhirnya aku akan berkata:
‘Ya, hiasan hang memang canggih! Canggih sampai aku nak bolot semua. Lepas tu kalau aku ni berkerjaya sebagai Pereka Hiasan Dalaman, hang nak buat perniagaan aku yang aku usahakan bersungguh-sungguh selama ni seakan-akan tidak ada nilainya! Biar setiap hari aku asyik akan termimpi-mimpi akan betapa dasyatnya hasil hiasan hang tu! Hang jahat betul…Hang memang jahat hang tau tak?!’
Melangkah ke arah meja Jaedyian sedang melakukan sedikit kerja, aku terus tenung ke dalam matanya, tanpa berkata apa-apa! Kemudian aku terus mencekak kolar bajunya dan berkata:
‘Entah kenapa, mood aku hari ni tak baik walaupun cuaca ya. Kalau mendung dekat luar tu menandakan hari nak hujan, bukan suatu fenomena cuaca buruk yang selalu di perkata-katakan dan untuk pengetahuan hang,’ perlahan-lahan aku merapatkan lagi tentangan mata ke mata di antara aku dengannya sambil tangan masih tidak melepaskan kolar bajunya. Wajah Jaedyian kelihatan agak risau dan tak mampu untuk berkata apa-apa! Dan seterusnya aku menyambung:

‘Hang nak tahu kenapa aku kata cuaca mendung bukan suatu perkara buruk?’
Jaedyian hanya tersandar di kerusi dengan reaksi wajah pucat melihat kepada wajah aku.
‘Sebab aku sentiasa suka cuaca mendung tapi aku TAK SUKA hang! Hang faham tak?!’

PUFFF!!!…!

Imaginasi tu muncul menandakan betapa tensionnya aku mengenangkan segala hasil usaha aku bersama June semalam seakan-akan bakal tumpas dengan hasil hiasan dia ni! Aduihh…Lelaki campuran ni, membuatkan lelaki sejati seperti aku terasa hilang segala gagah perkasa termasuk kemachoan yang sering aku pertahankan selama ni! Ciss!
Dalam keadaan aku sedang mengingau-ngigau memerhatikan koleksi hiasan tu, aku lihat June sedang duduk semeja sambil minum Cappucino bersama Jaedyian! Sedang berbual…

Jaedyian: ‘Kenapa dengan teman you tu? Melilau semacam saja?’
June: ‘Biarkan dia. Perangai dia kadang-kala memang macam tu. You know, orang lelaki…’
Aku: …(?)
June: ‘By the way, u ada dengar tak pasal event nak dapatkan kontrak interior design yg dianjurkan dekat….’ June buat-buat seperti nak tangkap memori dekat mana…
Jaedyian: ‘Pasal temuduga mendapatkan kontrak tu, I ada dengar. Tapi I tak ambik bahagian. I terlibat dengan urusan lain. Sedih jugak sebab terpaksa ketepikan tawaran tu tapi I ada jadual ketat. Jadual I membuatkan I terpaksa lepaskan tawaran kontrak begitu saja. Lagipun, sebagai seorang Ahli Perniagaan, kita tahu terburu-buru dalam mengejar sesuatu tanpa menyusun tatacara samaada kita mampu laksanakannya ataupun tidak, hanya akan membawa padah kepada perniagaan kita sendiri. Jadi, I buat keputusan untuk tidak serta dalam mendapatkan kontrak tu.’
June: ‘You tak rasa rugi ke? Dekat situ le you nak buktikan lagi kehebatan you dalam bidang ni. Bagi I lah, terus-terang I cakap, I memang mengagumi hasil yang you pamerkan ni. You memang tak mahu cuba langsung ambik bahagian?’
Jaedyian: ‘I dah mulakan bisnes ni hampir dekat 10 tahun. Dalam jangka masa tu I dah lalui seakan-akan semua perkara dalam bidang ni. I dah buktikan dibanyak tempat. Sijil-sijil, anugerah, semuanya I pernah dapat. Ada suatu ketika dalam hidup, kita tahu di mana untuk go slow…(bergerak perlahan). Bagi I, tahun-tahun yang mendatang ni, I memang nak banyakkan tumpu kepada keluarga saja, selain perniagaan. I dah penat sibuk dah.’
June: ‘You dah kahwin?’
Jaedyian menarik nafas panjang seketika sebelum menjawab.
Jaedyian: ‘Bercerai. Isteri I jumpa seseorang yang lebih banyak dapat menghabiskan masa bersama dengan dia.’
June: ‘Hmmm…I’m sorry.’ sambil menghirup Cappucino.
Jaedyian: ‘Tak mengapa. Lagipun perkara tu sudah lama berlalu. Selalunya, manusia hanya akan belajar setelah sesuatu perkara itu betul-betul berlaku ke atas dirinya. Setelah berlaku, baru timbul rasa insaf, menyesal dan sebagainya. Selagi tak, percayalah…seguni nasihat diberi pun, takkan membawa apa-apa makna.’
June mengangguk tanda setuju dan kemudian baru menjemput aku untuk minum Cappucino bersama.
HA! Ingatkan tak nak jemput langsung!

Selepas seketika sama-sama menghabiskan minuman, June minta diri.
June: ‘Eh, tak apalah En. Jaedyian Vandessey. Kami ingat kami beransur dululah. Ada beberapa hal lain lagi yang perlu kami selesaikan. Lagipun kita bukan boleh sembang macam-macam kalau orang lelaki menyibuk…’
Jaedyian kelihatan mengangguk-angguk sambil tersenyum, tersandar di kerusi di balik mejanya itu.
Sekejap…sekejap….Dia tu bukan lelaki ke June?
June: ‘Tentang hiasan tu, terima kasih banyak-banyak sebab sudi memperlihatkan kepada kami koleksi terbaik. Walaubagaimanapun, I nak kena buat beberapa perbandingan terlebih dahulu. Bukan koleksi En. Jaedyian tak menarik. Ia sungguh menarik tetapi En.Jaedyian faham kan? Sebagai pelanggan? I tetap kena bershopping sana-sini terlebih dahulu.’ sambung June manja.
Jaedyian kelihatan masih senyum rileks, tersandar di kerusinya tadi.
Jaedyian: ‘Tak mengapa, I faham. I juga faham tujuan utama you berdua ni sebenarnya bukanlah untuk membeli, tapi nak menyiasat – kalau I boleh berterus-terang..?
June tersentak sebentar dan memberhentikan langkahnya…begitu juga aku….terkejut le…
Jaedyian: ‘It’s okay. I tak kisah. Lagipun, apa salahnya kalau pameran koleksi I ni dapat membantu.’
June: ‘Mana En.Jaedyian tahu tentang tujuan I?’ kata June, agak kehairanan.
Alaaa….jom le blah June!
Jaedyian: ‘I kan ke dah 10 tahun dalam bidang ni? Bila you sebut saja pasal permohonan nak dapatkan kontrak tadi, serta-merta dalam fikiran I dah dapat tangkap rentak you. You jangan risau, I memang tak terlibat dalam permohonan tu dan juga I tak kisah you datang melihat koleksi-koleksi I untuk membuat perbandingan. Anggap saja I ikhlas dapat membantu, ok?’
Sambil menggelengkan kepala sedikit dan tersenyum, June mengajak aku keluar dari kedai ni.

June: ‘I rasa lakonan kita tak beberapa berkesanlah. Nasib baik kena dekat orang macam Jaedyian tu. Buatnya kena dekat jenis yang tak berapa ok, mahunya kena tengking kita nanti.’
Masa tu aku dengan June tengah lepak makan dalam sebuah foodcourt yang terdapat dalam Perniagaan Mall ni, memandangkan kami masih belum bersarapan sejak pagi tadi.
Aku: ‘Yang you pergi bukak cerita pasal tawaran kontrak tu buat apa?’
June: ‘Entah le ArdMad…I ni bukannya pandai berlakon sangat.’
Aku masa tu tengah mengunyah berger melihat tepat ke sepasang anak mata June dengan tenungan yang menampakkan tak berapa puas hati.
June: ‘You pun kena ingat. Yang you tu seronok aje meng’ayat’ budak perempuan kat kedai tadi tu. Takde langsung nak menolong I dalam perbincangan dengan Jaedyian tu. Bukannya I tak nampak!’
June ‘mencuka’kan mukanya.
Aku: ‘Eh, you kena tahu. Itu sebagai salah satu langkah untuk mengaburi mata sekeliling. I buat macam tu semata-mata untuk menampakkan lagi betapa prihatinnya kita sebagai pelanggan yang menitik beratkan soal kualiti. I berbincang dengan pekerja dia tentang hiasan mana yang terbaik. Semuanya pasal hiasan dan tujuan kita. Bukannya bincang pasal benda lain. You ni le!’ aku mempertegaskan(!) kedudukan aku.
June menjegil kearah lain sebentar dan kemudiannya
June: ‘Yelah! I tersilap. You nak I mengaku le tu!’ dengan berpaling ke arah aku pula.
Macam tulah…..Dengan gaya dan lagak aku yang memang aku kira dah nampak sangat macam pelanggan profesional di awalnya, boleh hancur begitu saja bila June memulakan topik perbualan pasal tawaran kontrak tu. Memang salah dia! Dia tak pikir langsung ke Jaedyian tu pun cerdik orangnya? Hishh!!…June..June. Leceh la lu ni…
June: ‘Makan cepat! Kita kan ke ada satu lagi destinasi nak pergi ni?!..’
Aikk? Macam marah aje?
Aku: ‘Eh, June. Apasal you makan sup cendawan aje pagi ni? You makan le banyak sikit.’
June: ‘Ishh..tak naklah.’
Aku: ‘Orang macam you ni kan, kalau makan banyak sikit boleh tembam…dan bila tembam I rasa nanti semakin comel pulak. Makan le banyak sikit June…’ selamba aku dengan tangan sebelah menunjuk-nunjuk ke arah struktur wajahnya manakala sebelah lagi tengah memasukkan selebihan berger ke dalam mulut.
June: ‘ArdMad, makan le elok-elok sikit. Jangan le comot sangat..’
Aiseh….muka aku ada serpihan-serpihan mustard dan sos…
June: ‘Dan, selepas you dah bersihkan hidung you tu…’
Aikk…dekat hidung pun ada?
June: ‘Boleh kita beransur….ok?’


******

novel Perjuangan d’ Ersante adalah sambungan kepada edisi pertama bertajuk Fantasy Romantic’ (keluaran karangkraf). Novel ini tersangkut penerbitannya akibat krisis dalaman di antara editor, manager dan penulis – yg seterusnya membawa kepada penubuhan anak syarikat bernama Buku Prima. Harap maklum ini hanyalah sebuah kisah sahaja – bertujuan memenuhi permintaan pasaran (bidang penulisan). Ia dicipta sekitar tahun 2003 – 2004.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...